Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, Brazil jadi contoh negara ‘berdikari’

    BEIJING, 13 OGOS – Presiden China, Xi Jinping kelmarin memberitahu rakan sejawatnya dari Brazil bahawa kedua-dua negara boleh menjadi contoh ‘negara berdikari’ bagi kuasa-kuasa sedang muncul, ketika cabaran perdagangan dan geopolitik semakin meningkat.

    Kedua-dua pemimpin itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini berusaha memperkenalkan negara masing-masing sebagai pendukung tegar sistem perdagangan pelbagai hala – berbeza dengan serangan tarif daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

    Panggilan Xi kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, kelmarin dibuat hanya beberapa jam selepas Trump mengumumkan lanjutan selama 90 hari lagi terhadap pelaksanaan tarif keras terhadap China.

    Perbualan itu juga diadakan selepas Lula memberi isyarat minggu lalu bahawa beliau bercadang berbincang dengan pemimpin India dan China bagi mempertimbangkan tindakan balas bersama terhadap langkah perdagangan AS.

    Menurut agensi berita rasmi Xinhua, Xi memberitahu Lula bahawa hubungan China-Brazil kini berada pada tahap paling tinggi dalam sejarah. Xi berkata China akan ‘bekerjasama dengan Brazil untuk menjadi contoh perpaduan dan berdikari dalam kalangan negara besar di Selatan Global’ serta ‘bersama-sama membina dunia yang lebih adil dan planet yang lebih lestari.’

    Xi turut menegaskan bahawa ‘semua negara harus bersatu dan menentang dengan tegas unilateralism serta perlindungan perdagangan,’ merujuk kepada tarif AS, lapor Xinhua.

    Kenyataan daripada pejabat Presiden Brazil menyatakan panggilan telefon itu berlangsung kira-kira sejam, dengan Lula dan Xi membincangkan pelbagai isu termasuk perang di Ukraine dan usaha memerangi perubahan iklim.

    “Kedua-duanya bersetuju mengenai peranan G20 dan BRICS dalam mempertahankan multilateralisme,” kata kenyataan itu, merujuk kepada kumpulan ekonomi utama G20 dan blok kuasa sedang muncul.

    Para pemimpin juga ‘komited untuk meluaskan skop kerjasama dalam sektor seperti kesihatan, minyak dan gas, ekonomi digital dan satelit,” tambah kenyataan itu.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing giat mendekati Amerika Latin sebagai cara menyaingi pengaruh Washington – yang secara tradisinya merupakan kuasa besar paling dominan di rantau itu. – AFP

    Presiden China, Xi Jinping, berjabat tangan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, selepas pertemuan di Istana Alvorada di Brasilia pada 20 November 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda