MACHACKOS, 19 JUN – Syarikat atap China, SINOMA Roofing Company, membuka kilang baharu di Kenya kelmarin bagi menyediakan bahan atap yang mampu milik, mesra alam dan tahan lama kepada pasaran tempatan.
“Kenya dan China berkongsi ikatan persahabatan yang mendalam. Kami komited untuk menyediakan bahan berkualiti dan mampu milik yang memenuhi keperluan rakyat Kenya,” kata Wu Shuang, pengurus besar SINOMA Roofing Company, semasa pembukaan rasmi kilang yang terletak di Daerah Machakos, bersempadan dengan ibu negara Nairobi di kawasan barat.
“Kami gembira bahawa teknologi yang digunakan akan mengubah cara pemasangan atap dilakukan, dan kilang ini akan memberi peluang kepada golongan muda untuk mempelajari cara teknologi ini berfungsi,” kata Wavinya Ndeti, Gabenor Daerah Machakos.
Ndeti menyatakan kegembiraannya terhadap kilang baharu itu, menekankan bahawa industri atap sedang mengalami pertumbuhan yang pesat dan mempunyai permintaan yang kukuh.
Majlis itu turut dihadiri oleh Zhang Sicai, pengurus besar CBMI Construction Co, Ltd. Zhang menyatakan bahawa kilang itu akan mengambil sekurang-kurangnya 50 pekerja dalam kalangan penduduk tempatan, dengan rancangan untuk meningkatkan jumlah itu kepada 200 dalam masa terdekat.
Beliau menambah bahawa syarikat itu berhasrat untuk mematuhi peraturan tempatan bagi melindungi alam sekitar sambil merujuk kepada ciri-ciri mesra alam bahan atap yang dihasilkan. – Xinhua
