China catat inflasi tertinggi

BEIJING, 12 JUN – Inflasi di China meningkat kepada tahap tertingginya dalam lebih satu tahun pada Mei didorong oleh kenaikan dalam harga daging khinzir dan buah-buahan akibat wabak demam khinzir Afrika dan cuaca buruk, data rasmi menunjukkan hari ini.

Namun sementara harga naik, permintaan masih lemah disebabkan perang perniagaan dengan Amerika Syarikat (AS)dan ketidakpastian ekonomi.

Indeks harga pengguna (CPI), pengukur utama inflasi runcit, mencecah 2.7 peratus, kata Biro Statistik Nasional (NBS), berbanding dengan 2.5 peratus pada April dan yang tertinggi sejak Februari 2018.

Data adalah sejajar dengan ramalan penganalisis yang ditinjau oleh Bloomberg News.

Peningkatan ‘sebahagiannya adalah hasil perkembangan pesat dalam inflasi harga makanan,’ dan gangguan bekalan daging khinzir berpunca daripada demam khinzir Afrika, kata Capital Economics dalam satu nota.

Berjuta-juta khinzir telah pun dibunuh baru-baru ini apabila penyakit melanda China dan tempat lain, memusnahkan rantaian makanan global dan menjejas harga daging khinzir daripada pasaran makanan Hong Kong kepada restoran AS. Indeks harga pengguna (PPI), petunjuk penting permintaan domestik, mencecah 0.6 peratus pada Mei, daripada 0.9 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan ekonomi mungkin meleset seterusnya disebabkan ketegangan perniagaan AS-China,” kata Nomura International dalam satu nota. – AFP

Seorang pelanggan membeli sayur di sebuah pasar di Shenyang di wilayah timur laut Liaoning di China kelmarin. Inflasi di China meningkat kepada tahap tertingginya dalam lebih setahun pada Mei didorong oleh kenaikan harga daging khinzir dan buah-buahan disebabkan wabak demam khinzir Afrika dan cuaca buruk. – AFP