BEIJING, 25 OGOS – China mencatatkan lonjakan baharu dalam penggunaan tenaga arang batu pada separuh pertama tahun ini meskipun negara itu turut menambah kapasiti tenaga bersih pada paras rekod, menurut laporan yang diterbitkan hari ini.
Arang batu telah menjadi sumber tenaga utama di China selama beberapa dekad, namun pertumbuhan pesat pemasangan tenaga angin dan solar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan harapan bahawa negara itu mampu mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil yang mencemarkan itu.
Arang batu kini merangkumi kira-kira separuh daripada penjanaan kuasa China, berbanding tiga perempat pada tahun 2016.
Namun begitu, negara itu telah menambah 21 gigawatt (GW) tenaga arang batu ke grid dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini jumlah separuh tahun tertinggi sejak 2016, menurut laporan oleh Centre for Research on Energy and Clean Air (CREA) dan Global Energy Monitor (GEM).
China juga memulakan atau menyambung semula pembinaan projek arang batu berjumlah 46 GW – bersamaan dengan keseluruhan kapasiti kuasa arang batu di Korea Selatan selain melancarkan cadangan baharu dan satu lagi projek yang dipulih semula bernilai 75 GW.
Pertumbuhan ini menjejas matlamat China untuk mencapai puncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan berisiko mengukuhkan lagi peranan arang batu dalam sektor tenaga negara itu, menurut laporan tersebut.
Sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia, China adalah penyumbang terbesar gas rumah hijau yang mendorong perubahan iklim, namun pada masa yang sama ia juga merupakan kuasa besar dalam tenaga boleh diperbaharui. – AFP


