Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China catat rekod baharu tenaga hijau

    BEIJING, 21 JAN – China mencatatkan rekod baharu pemasangan tenaga boleh diperbaharui pada tahun lalu, menurut data yang dikeluarkan Pentadbiran Tenaga Negara (NEA) hari ini.

    Negara itu, yang merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau yang dikenal pasti saintis sebagai punca utama pemanasan global dan perubahan iklim, komited untuk mencapai puncak pelepasan karbon pada 2030 dan sifar bersih menjelang 2060.

    China, ekonomi kedua terbesar dunia, menambah kira-kira 277 gigawatt (GW) tenaga solar pada tahun lalu, meningkat daripada 217 GW yang dipasang pada tahun sebelumnya, menurut kenyataan NEA.

    Selain itu, negara tersebut turut meningkatkan kapasiti tenaga angin dengan tambahan hampir 80 GW, meningkat sedikit berbanding 76 GW pada 2023.

    Jumlah keseluruhan kapasiti tenaga solar dan angin yang dipasang kini masing-masing adalah sekitar 887 GW dan 521 GW.

    Presiden Xi Jinping sebelum ini menetapkan sasaran pada 2020 untuk memasang sekurang-kurangnya 1,200 GW kapasiti tenaga solar dan angin menjelang 2030.

    Namun, China berjaya melepasi sasaran tersebut pada tahun lalu, hampir enam tahun lebih awal daripada jadual, berdasarkan data NEA yang dikeluarkan pada Ogos.

    China telah membina hampir dua kali ganda kapasiti tenaga angin dan solar berbanding jumlah gabungan negara-negara lain, menurut kajian yang diterbitkan pada Julai.

    Beijing juga melabur lebih daripada AS$50 bilion dalam kapasiti bekalan solar baharu dari 2011 hingga 2022, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA). – AFP

    Foto fail bertarikh 20 November 2024 ini menunjukkan panel solar yang dipasang di bumbung sebuah syarikat pengeluar bahan fotovolta di Yinchuan, wilayah Ningxia, utara China. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda