Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    China dakwa bekas ketua Interpol

    BEIJING, 10 Mei – Pendakwa China mendakwa bekas presiden Interpol Meng Hongwei hari ini atas dakwaan menerima rasuah, perkembangan terbaharu dalam satu kes yang bermula dengan kehilangan beliau ketika mengadakan kunjungan ke Beijing.

    Pengumuman daripada pejabat pendakwa di bandar timur laut Tianjin berkata Meng telah menyalahgunakan kedudukannya, termasuk sebagai timbalan menteri keselamatan awam dan ketua polis laut untuk “menerima wang tunai dan harta sebagai balasan atas pertolongan yang diberikan kepada orang lain.

    “Jumlah yang diterima adalah amat besar,” kata kenyataan.

    Sebelumnya, jawatankuasa disiplin Parti Komunis berkata, satu siasatan mendapati Meng telah menyalahgunakan kuasanya demi memenuhi ‘gaya hidup keluarganya yang mewah’.

    Meng ditahan pada bulan lalu setelah disingkirkan daripada jawatan awam dan parti.

    Gambar fail bertarikh 8 Mei 2019 menunjukkan Putera Charles, Prince of Wales (dua kanan) bergambar bersama Menteri Dalam Negeri Perancis Gerard Collomb (kiri), presiden Interpol Meng Hongwei (kanan) dan setiausaha agung Interpol, Jurgen Stock ketika lawatan ke ibu pejabat sekretariat Interpol di Lyon, Perancis. Pendakwa China mendakwa bekas presiden Interpol Meng Hongwei kelmarin atas dakwaan menerima rasuah. – AP

    Ketika berkhidmat di Interpol, Meng mengekal jawatannya sebagai timbalan menteri keselamatan awam.

    Dipilih sebagai presiden pertubuhan polis antarabangsa pada tahun 2016, penggal empat tahun Meng dipendekkan apabila beliau hilang dalam tahanan selepas berkunjung ke China dari ibu pejabat pertubuhan di Perancis pada akhir September.

    Interpol tidak dimaklumkan dan terpaksa mengemukakan permintaan formal kepada China bertanyakan di mana Meng berada.

    Timbulnya kesangsian beliau tidak disenangi oleh Presiden China Xi Jinping, yang telah melancarkan tindakan keras ke atas rasuah dan ketidaksetiaan yang dikatakan oleh pemerhati dilakukan untuk memperkukuh kawalan parti sementara menyingkir mereka yang mencabar kuasa beliau.

    Isteri Meng telah menuduh pihak berkuasa berdusta dan menyoal sama ada suaminya masih hidup.

    Grace Meng masih menetap di Perancis bersama dua anak lelaki mereka sejak suaminya ditahan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda