BEIJING, 13 MEI – Rundingan peringkat tinggi mengenai ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung di Geneva dari 10 hingga 11 Mei mencapai kemajuan yang substantif dengan persetujuan tercapai bagi menurunkan kadar tarif antara kedua-dua negara.
Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) dalam sidang taklimat kelmarin, ketika memberikan huraian mengenai Kenyataan Bersama Rundingan Ekonomi dan Perdagangan China-AS.
Menurut MOFCOM, AS memutuskan untuk membatalkan tarif tambahan sebanyak 91 peratus, manakala China juga menarik balik 91 peratus tarif balasannya.
Sementara itu, AS memutuskan untuk menggantung pelaksanaan ‘tarif timbal balik’ sebanyak 24 peratus dan China juga mengambil langkah yang sama.
Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pihak menyedari betapa pentingnya hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala bagi ekonomi kedua-dua negara ini dan dunia, sementara memahami keutamaan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala yang mampan dan saling memanfaatkan untuk jangka masa panjang. – Bernama
