Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China dan Ecuador meterai FTA

    QUITO, 11 MEI – China dan Ecuador kelmarin menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara Amerika Selatan itu berharap akan meningkatkan eksport bukan minyaknya sehingga AS$4 bilion dalam beberapa tahun akan datang.

    Perjanjian itu meliputi 99.6 peratus daripada eksport Ecuador dan ‘membuka pintu kepada pasaran terbesar di dunia: 1.4 bilion pengguna’, kata menteri perdagangan, Julio Jose Prado kepada pemberita.

    China merupakan rakan perdagangan bukan minyak utama Ecuador pada separuh pertama 2022, kata kementerian perdagangan Quito.

    Perdagangan dua hala tahun lalu mencapai rekod AS$13.09 bilion, menurut bank pusat itu.
    Beijing dan Quito mula merundingkan FTA pada Februari 2022, apabila Presiden konservatif Ecuador, Guillermo Lasso melawat China.

    Prado menyebut perjanjian itu ‘sangat menarik’ untuk pengeksport dan sektor yang membeli bahan mentah dari China.

    Gambar fail bertarikh 18 November 2016 menunjukkan Presiden China, Xi Jinping dan isterinya, Peng Liyuan melambai selamat tinggal dari pesawat mereka semasa mereka berlepas dari Quito, Ecuador. – AP

    “Perjanjian itu tertumpu kepada isu perdagangan. Kami tidak merundingkan isu perkhidmatan, pelaburan, perolehan awam dan sektor lain yang mungkin menjadi lebih sensitif,” katanya.

    Jumlah pelepasan tarif untuk eksport tradisional Ecuador, seperti pisang, koko, udang dan bunga ros, akan mengambil masa antara lima dan 10 tahun, manakala pelepasan untuk barangan lain akan diberikan serta-merta, tambahnya.

    China, ekonomi kedua terbesar di dunia, mempunyai pakatan perdagangan yang sama dengan negara Amerika Latin Peru, Costa Rica dan Chile.

    Eksport bukan minyak Ecuador ke China dijangka berkembang antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion, menurut portfolio pengeluaran.

    Ia juga diharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dengan 1.2 juta pekerjaan sudah dikaitkan dengan sektor eksport, yang Prado berkata boleh berganda dalam tahun-tahun akan datang.

    Untuk melindungi sektor pembuatan tempatan Quito, sekitar 800 produk China dikecualikan daripada perjanjian itu, seperti tekstil, kasut dan seramik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda