Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China dan Singapura perkukuh kerjasama

    BEIJING, 7 DIS – Perdana Menteri China Li Qiang berkata China bersedia meningkatkan kerjasama berkualiti dengan Singapura untuk memberikan sumbangan lebih besar kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong di Beijing pada kelmarin.

    Li Qiang berkata pada awal tahun ini, pemimpin kedua-dua negara mengumumkan keputusan untuk melonjakkan hubungan China-Singapura ke tahap perkongsian yang lebih berkualiti tinggi merangkumi seluruh aspek yang berorientasikan masa depan.

    “China juga bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura untuk mengikuti pedoman strategik pemimpin kedua-dua negara, mengendalikan hubungan dua hala daripada perspektif serantau dan global, mengekalkan kepercayaan strategik dan mendorong kerjasama saling menguntungkan yang lebih berkualiti tinggi.

    “Di samping itu, China bersedia mengambil peluang daripada penaiktarafan perjanjian perdagangan bebas untuk memperkasakan kerjasama China-Singapura supaya memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Li.

    Beliau juga menyatakan bahawa China bersedia untuk mengukuhkan perpaduan dan koordinasi dengan negara-negara serantau bagi menyuntik momentum baharu ke dalam integrasi serantau.

    Sementara itu, Lawrence Wong berkata Singapura mementingkan hubungan dengan China dan ingin meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China.

    “Singapura bersedia memperkasakan kerjasama praktikal dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan ekonomi digital, memainkan peranan positif dalam menjaga keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau dan memajukan hubungan Singapura-China ke hadapan,” kata Wong. – Bernama

    Perdana Menteri China Li Qiang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura Lawrence Wong di Beijing, ibu negara China, kelmarin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda