Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China dan Vietnam sepakat bina komuniti berkongsi nasib

    HANOI, 13 DIS – China dan Vietnam sepakat untuk menggembleng tena-ga dalam usaha membina komuniti berkongsi nasib sesama negara yang berasaskan pemerkasaan perkongsian kerjasama strategik komprehensif Beijing-Hanoi.

    Kedua-dua negara turut mengumumkan hala tuju baharu dalam hal berkaitan hubungan dua hala.

    Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan Presiden China, Xi Jinping dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong di Hanoi pada Selasa.

    Xi turut mengetengahkan enam cada-ngan berhubung usaha sama membina komuniti berkongsi nasib sesama negara.

    “Pertama, perlunya mengekalkan haluan politik yang betul. China dan Vietnam harus mengikut bimbingan strategik peringkat tinggi, mengukuhkan pertukaran dan saling belajar dalam tadbir urus negara.

    Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Xi Jinping berjabat tangan semasa mesyuarat di pejabat kerajaan di Hanoi, Vietnam pada 13 Disember. – AP

    “Selain itu, kedua-dua negara juga perlu saling menyokong antara satu sama lain dalam isu berkaitan kepentingan teras dan keprihatinan utama masing-masing dan bersama menegakkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa,” kata Xi.

    Beliau berkata kedua-dua pihak harus memperkukuh rasa saling percaya dari aspek keselamatan, sambil menambah bahawa China tegas menyokong Vietnam dalam mengekalkan kestabilan sosial dan perpaduan etnik.

    “Kami (China) yakin, pihak Vietnam akan terus menyokong kami dalam usaha penyatuan semula tanah air dan menolak campur tangan dari luar,” kata beliau.

    Menyentuh mengenai kerjasama yang substantif, Xi berkata China bersedia untuk berkongsi peluang dengan Vietnam serta mewujudkan pembangunan bersama.

    “Vietnam dialu-alukan untuk membuat penyelarasan dengan lapan langkah utama mengenai pembinaan berkualiti dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di samping memperluas kerjasama dalam bidang baru muncul seperti ekonomi digital dan pembangunan hijau,” kata Xi.

    Presiden China juga menyeru supaya lebih banyak input diberikan untuk mengukuhkan sokongan dari peringkat akar umbi terhadap persahabatan China-Vietnam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda