Sunday, February 23, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China desak penyelesaian isu Gaza lebih ‘berkesan’

    ISTANBUL, 23 FEB – China menyeru pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang berkesan dan menyeluruh serta penyelesaian dua negara dalam isu Palestin, menurut kenyataan rasmi kelmarin, lapor Anadolu Ajansi (AA).  

    Beijing menentang pemindahan paksa rakyat Palestin dan menegaskan komitmennya terhadap pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata.  

    “Gaza adalah sebahagian daripada wilayah Palestin, dan masa depannya harus ditentukan oleh kehendak rakyat Palestin,” kata Menteri Luar China, Wang Yi semasa panggilan telefon bersama rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty kelmarin.

    Seruannya hadir ketika gencatan senjata di Gaza telah berkuat kuasa sejak bulan lalu.

    Serangan Israel meragut sekurang-kurangnya 48,300 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta memusnahkan wilayah itu.  

    Wang Yi menegaskan bahawa pentadbiran pasca-perang di Gaza harus berlandaskan prinsip ‘Palestin diperintah oleh Palestin’.

    Beliau menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk mempercepatkan pelan pembinaan semula dan pentadbiran wilayah itu dengan menekankan bahawa keamanan berkekalan hanya boleh dicapai melalui penyelesaian dua negara.  

    Beliau turut memuji pendirian tegas negara-negara Arab dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.  

    Sementara itu, Abdelatty menegaskan komitmen Mesir dalam memastikan pelaksanaan penuh gencatan senjata di Gaza, selain mengukuhkan koordinasi dengan negara-negara Arab dalam usaha pembinaan semula serta menolak pemindahan paksa rakyat Palestin.  

    Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan terkini di Sudan dan Syria.  – Bernama/Anadolu 

    Wang Yi bercakap selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 18 Februari, di ibu pejabat PBB. China desak penyelesaian isu Gaza yang lebih berkesan. – Gambar fail – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda