BEIJING, 17 DIS – China kelmarin mengeluarkan amaran suhu rendah, mengingatkan merkuri boleh jatuh ke paras terendah dalam sejarah di beberapa buah kawasan di negara itu, sehari selepas Presiden Xi Jinping menggesa ‘usaha habis-habisan’ untuk memastikan keselamatan penduduk.
Cuaca sejuk berikutan salji pertama musim sejuk itu turun di Beijing, di mana sistem pengangkutan awam menghadapi masalah, penerbangan dibatalkan dan landasan licin menyebabkan perlanggaran metro pada petang Khamis lalu yang mencederakan lebih seratus orang.
Pihak berkuasa meteorologi negara itu pada pagi kelmarin mengeluarkan amaran suhu rendah yang meramalkan gelombang sejuk di sebahagian besar kawasan China yang akan berterusan sehingga Selasa.
Sementara itu, agensi berita negara Xinhua memetik pihak berkuasa berkata, “Beberapa kawasan di utara China dan wilayah di sepanjang Sungai Kuning dan Sungai Huaihe mungkin melihat suhu mereka memecahkan rekod terendah untuk tempoh yang sama tahun ini.’
Tidak menghirau cuaca yang sudah membeku, pelancong di Beijing juga telah mengharungi angin kencang pada Jumaat di kawasan Tembok Besar yang terletak di pergunungan sekitar bandar itu, di mana monumen ikonik itu telah dilitupi lapisan salji nipis.
Cuaca sejuk luar biasa juga dijangka merebak ke kawasan lain di China, dengan amaran rasmi kelmarin menambah suhu 0 darjah Celsius atau lebih rendah dalam beberapa hari akan datang dijangka di kawasan selatan Wilayah Guizhou, kira-kira 300 kilometer dari sempadan dengan Vietnam.
“Kapasiti bekalan arang batu, kuasa, minyak dan gas perlu dipertingkat, dan kerja perlu dilakukan untuk menjamin bekalan tenaga dan memastikan rakyat kekal panas,” kata Xi, menurut Xinhua. – AFP


