RIO DE JANEIRO, 18 MEI – China dan Kesatuan Eropah (EU) telah menggantung import daging ayam dari Brazil, pengeksport terbesar komoditi itu di dunia, selepas berlaku wabak selesema burung (H5N1) di sebuah ladang di negara Amerika Selatan itu, menurut pegawai pada Jumaat lalu.
China merupakan pengimport utama ayam dari Brazil, dengan 562,000 tan pada tahun 2024, iaitu lebih 10 peratus daripada jumlah keseluruhan, menurut Persatuan Protein Haiwan Brazil (ABPA).
EU pula mengimport lebih 231,000 tan ayam tahun lalu, menyumbang sebanyak 4.5 peratus daripada jumlah eksport daging ayam Brazil.
“Bagi mematuhi perjanjian dengan China dan EU, eksport kini disekat dari Brazil secara keseluruhan dan dalam kes China selama 60 hari,” kata kenyataan Kementerian Pertanian Brazil.
Satu wabak berjangkit baharu ‘selesema burung yang sangat patogenik’ (HPAI) telah disahkan di sebuah ladang di Montenegro, selatan Rio Grande do Sul.
Sementara China dan EU menggantung import dari seluruh Brazil, negara lain mungkin hanya mengenakan sekatan ke atas wilayah yang terjejas sahaja.
Kementerian itu menjelaskan virus tersebut tidak boleh menular kepada manusia melalui pengambilan daging ayam atau telur.
Namun, jangkitan kepada manusia boleh menyebabkan penyakit teruk dengan kadar kematian yang tinggi, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO, kebanyakan kes dalam kalangan manusia yang dikesan setakat ini kebanyakannya dikaitkan dengan sentuhan burung dan haiwan lain yang dijangkiti, atau persekitaran yang tercemar. – AFP
