Monday, April 14, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, EU komited pelihara dagangan bebas dan terbuka

    BEIJING, 9 APRIL – China dan Kesatuan Eropah (EU) perlu memperluas keterbukaan satu sama lain serta bersama-sama memelihara perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka.

    Sinergi juga hendaklah dibentuk untuk menjaga kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global agar menyuntik lebih banyak unsur kepastian kepada kedua-dua pihak malah dunia.

    Perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang, dalam perbualan dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menerusi panggilan telefon kelmarin.

    Li berkata tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sembarangan terhadap semua rakan dagang termasuk China dan EU dengan menggunakan pelbagai dalih adalah amalan unilateralisme, perlindungan dan pembulian ekonomi yang tipikal.

    Tindakan balas tegas yang diambil China bukan sahaja demi melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara, tetapi juga untuk mempertahankan peraturan perdagangan serta keadilan antarabangsa.

    Li turut menzahirkan komitmen China untuk terus memperluas keterbukaan dan memperkasa kerjasama serta berkongsi peluang pembangunan dengan negara-negara lain di dunia.

    Sementara itu, von der Leyen berkata pihaknya bersedia mempergiat dialog peringkat tinggi dengan China, di samping memperdalam kerjasama saling untung dalam bidang perdagangan, ekonomi hijau, perubahan iklim dan sebagainya.

    Menurut beliau, tarif tambahan AS memberi impak besar kepada perdagangan antarabangsa dan membawa kesan serius kepada Eropah, China serta negara-negara yang rentan.

    Beliau berkata EU dan China komited untuk memelihara sistem perdagangan multilateral yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta menjaga perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan global yang sihat dan mampan. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda