MANILA, 31 Mei – China dan Filipina telah bersetuju untuk menangani pertelingkahan maritim melalui dialog dan perbincangan, menurut satu kenyataan dari delegasi diplomatik China hari ini.
Pengarah Besar Jabatan Hal Ehwal Laut dan Sempadan Kementerian Hal Ehwal Luar China, Yi Xianliang, mengetuai satu delegasi diplomatik China yang membuat satu kunjungan ke Filipina bermula kelmarin hingga hari ini, menurut kenyataan itu lagi.
Semasa kunjungan itu, Yi bertemu dengan setiausaha Luar Filipina, Alan Peter Cayetano dan setiausaha rendah, Enrique Manalo.
Kedua belah pihak telah membincangkan mengenai situasi masa kini berkenaan Laut China Selatan dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu maritim yang dipertikaikan.
Dalam pertemuan itu, kedua belah pihak, Beijing dan Manila bersetuju untuk mengikuti semangat persetujuan bersama dan usaha sama dalam mengendalikan pertikaian maritim sebaiknya melalui dialog dan perbincangan antara kedua-dua negara tersebut.
Manila dan Beijing juga bersetuju untuk melindungi keamanan dan kestablian Laut China Selatan dan menggesa bagi kerjasama maritim dalam pelbagai bidang, dalam usaha untuk menghasilkan atmosfera baik bagi perkembangan dua hala yang sihat dan stabil. – Xinhua