BEIJING, 31 OGOS – Peminat bola keranjang China kecewa hari ini selepas pasukan kebangsaan tersingkir daripada Piala Dunia tanpa memenangi sebarang perlawanan, menyifatkan prestasi hambar itu sebagai ‘penghinaan kami yang paling teruk’.
China perlu memenangi perlawanan terakhir kumpulan mereka malam semalam dan berharap keputusan lain berjalan lancar, namun dikalahkan 107-89 oleh Puerto Rico.
Peminat meluahkan perasaan mereka di media sosial, di mana hashtag mengenai tiga kekalahan berturut-turut mereka dalam kejohanan itu, yang dihoskan bersama oleh Jepun, Filipina dan Indonesia, meraih puluhan juta tontonan.
“Kami tidak pernah gagal memenangi satu perlawanan pun sejak kami mula mengambil bahagian dalam Piala Dunia – ini adalah penghinaan kami yang paling dalam selama 45 tahun,” kata satu komen di platform Weibo yang popular.
“Persembahan kami tidak mungkin lebih teruk, walaupun saya yang mengetuai pasukan,” tulis pengguna lain.
Bola keranjang amat popular di China dan siaran perlawanan NBA biasanya menarik sejumlah besar penonton.
China menjadi tuan rumah Piala Dunia lelaki terakhir pada 2019, tetapi mereka menduduki tempat ke-24 dan tidak layak ke Sukan Olimpik Tokyo dan kini berada di ranking ke-27 dunia.
“Jika China mahu menyertai semula barisan pasukan global terkuat, kita mesti menjadikan liga domestik kita lebih kompetitif dan (lebih baik) dengan memupuk bakat yang kita ada,” tulis pakar sukan, Ran Xiongfei di Weibo. – AFP