Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China gantung larangan eksport barangan dua guna ke AS

    BEIJING, 9 NOV – China menggantung larangan eksport ke Amerika Syarikat yang melibatkan galium, germanium dan antimoni, iaitu logam penting untuk teknologi moden, menurut kementerian perdagangannya hari ini, sekali gus menandakan satu lagi langkah meredakan perang dagang dengan Washington.

    Sekatan itu sebelum ini melarang eksport barangan dua guna, iaitu bahan yang boleh digunakan untuk tujuan awam dan ketenteraan.

    Dikuatkuasakan pada Disember 2024, larangan berkenaan kini digantung sehingga 27 November 2026, menurut kenyataan kementerian perdagangan China.

    Pengumuman itu dibuat susulan pertemuan antara Presiden Xi Jinping dan Donald Trump pada 30 Oktober di Korea Selatan, di mana kedua-dua pemimpin bersetuju menarik balik beberapa langkah hukuman yang dikenakan ketika perang tarif membabitkan kedua-dua negara.

    Pada satu ketika, kedua-dua negara mengenakan tarif sehingga paras tiga angka, yang menghalang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia dan menjejaskan rantaian bekalan global.

    Sepanjang perang dagang itu, China cuba menggunakan penguasaan terhadap mineral kritikal yang menjadi asas segala-galanya daripada telefon pintar hingga teknologi ketenteraan termaju.

    Galium, germanium dan antimoni bukan tergolong dalam kategori unsur nadir bumi namun tetap penting kepada banyak sektor ekonomi. – AFP

    Pemandangan kontena di pelabuhan antarabangsa Shanghai di Shanghai pada 7 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda