Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China gantung ‘yuran khas pelabuhan’ ke atas kapal AS

    BEIJING, 10 NOV – China hari ini mengumumkan penggantungan selama setahun terhadap ‘yuran khas pelabuhan’ ke atas kapal Amerika Syarikat (AS), yang berkuat kuasa ‘serentak’ dengan langkah Washington menghentikan kutipan levi terhadap kapal China, ketika penangguhan perdagangan antara dua kuasa besar itu diteruskan.

    AS dan China telah terlibat dalam perang dagang dan tarif yang tidak menentu sejak beberapa bulan lalu, tetapi kedua-duanya bersetuju menarik balik beberapa langkah selepas pertemuan antara Presiden Xi Jinping dan Donald Trump bulan lalu di Korea Selatan.

    Pada satu ketika, tarif kedua-dua negara mencecah paras tiga angka yang menghalang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia serta mengganggu rantaian bekalan global.

    Penggantungan yuran pelabuhan yang dikenakan ke atas kapal yang dikendalikan atau dibina oleh AS semasa singgah di pelabuhan China bermula pada 13:01 petang hari ini, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan China.

    Industri pembinaan kapal AS menguasai sektor selepas Perang Dunia Kedua tetapi semakin merosot dan kini hanya mewakili 0.1 peratus pengeluaran global. Asia kini mendominasi sektor itu, dengan China membina hampir separuh kapal yang dilancarkan di seluruh dunia, diikuti Korea Selatan dan Jepun.

    Sebuah kapal kargo memunggah arang batu terma di terminal arang batu Pelabuhan Lianyungang di Wilayah Jiangsu, China, pada 9 November. – AFP

    Dalam kenyataan berasingan, Beijing turut memaklumkan akan menggantung sekatan terhadap subsidiari AS milik Hanwha Ocean, salah satu pembina kapal terbesar Korea Selatan.

    Penggantungan selama setahun itu, berkuat kuasa 10 November, dikaitkan dengan keputusan AS untuk menghentikan yuran pelabuhan yang dikenakan ke atas kapal yang dibina atau dikendalikan oleh China, menurut kenyataan dalam talian Kementerian Perdagangan.

    “Berdasarkan (penggantungan AS) ini… China memutuskan untuk menggantung langkah-langkah berkenaan selama setahun,” kata kenyataan itu.

    Siasatan untuk menentukan sama ada siasatan Seksyen 301 memberi kesan kepada ‘kepentingan keselamatan dan pembangunan’ industri pembinaan kapal serta rantaian bekalan China turut ditangguhkan selama setahun, menurut Kementerian Pengangkutan.

    Penggantungan ini adalah petanda terbaharu pemulihan hubungan ekonomi sejak pertemuan Xi-Trump. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda