Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    China gesa kuasa besar komited tolak hegemoni

    BEIJING, 11 MEI – China menyeru masyarakat antarabangsa agar berusaha bersama untuk menjaga keselamatan luar angkasa.

    Demikian kata Duta China untuk Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Li Song dalam sesi kumpulan kerja terbuka mengenai ‘Kod Tatalaku Tanggungjawab di Luar Angkasa’ Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, kelmarin.

    Li menyifatkan komitmen kuasa besar yang tidak mengamalkan hegemoni dan mendominasi luar angkasa sebagai ‘tindakan yang bertanggungjawab’.

    Ketika menjelaskan pandangan dan cadangan China berhubung isu situasi keselamatan luar angkasa dan pencegahan perlumbaan senjata di luar angkasa, beliau berkata, rundingan berhubung ‘tingkah laku yang bertanggungjawab di luar angkasa’ di arena antarabangsa perlu mematuhi prinsip menjaga keselamatan luar angkasa yang dimiliki bersama.

    “Semua negara perlu menjunjung konsep keselamatan global yang bersama, komprehensif, kerjasama dan mampan untuk membentuk Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan serta bekerjasama untuk menghadapi ancaman keselamatan luar angkasa dari pelbagai aspek,” kata Li.

    Beliau turut menegaskan pentingnya usaha mencegah perlumbaan senjata di luar angkasa dan mengendalikan secara seimbang hubungan antara penjagaan keselamatan dengan penggunaan luar angkasa untuk tujuan keamanan dan memastikan semua negara berhak menggunakan luar angkasa secara sama rata.

    “Kepentingan negara-negara membangun dan negara yang baru berkembang dalam bidang aeroangkasa perlu diambil berat.

    “Sikap prasangka, amalan dwistandard dan tindakan sekatan secara sepihak perlu disingkirkan, selain mengelakkan penyalahgunaan alasan ‘ancaman keselamatan’ untuk mengganggu aktiviti negara lain di luar angkasa bagi tujuan damai,” kata Li.

    Beliau turut menyeru semua negara supaya berpegang kepada amalan multilateralisme dan mengawal bersama secara bersepadu serta selaras, menyokong peranan utama PBB dalam tadbir urus antarabangsa di luar angkasa. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...