BEIJING, 31 Julai – China hari ini berkata Amerika Syarikat (AS) tidak sepatutnya mengaitkan perdagangan dengan rundingan tentang program nuklear Korea Utara, selepas Presiden Donald Trump menuduh Beijing tidak mengambil tindakan ke atas Pyongyang di sebalik meraih keuntungan daripada perniagaan dengan Amerika.
“Kami percaya isu nuklear Korea Utara dan perdagangan AS-China adalah dua isu yang termasuk dalam dua domain yang berbeza sama sekali,” Timbalan Menteri Perdagangan China, Qian Keming memberitahu taklimat media, dengan menambah kata isu-isu itu ‘tidak berkaitan’ dan seharusnya tidak dibincangkan bersama-sama.”
“Pada dasarnya, perdagangan China-AS, termasuklah pelaburan bersama, mendatangkan faedah antara satu sama lain dan China serta AS telah meraih keuntungan besar daripada perdagangan dua hala dan kerjasama pelaburan,” ujarnya.
Ulasan yang dibuat dalam respons kepada soalan tentang pernyataan di Twitter oleh Trump Sabtu lalu yang memberi amaran bahawa beliau tidak lagi membiarkan China ‘tidak melakukan apa-apa’ ke atas Korea Utara, selepas negara pertapa itu melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua.
Trump yang bertelagah dengan Beijing berhubung bagaimana menangani rejim Kim telah berulang kali menggesa China supaya mengekang jirannya yang degil itu, namun Beijing menegaskan dialog adalah satu amalan praktik laluan ke hadapan.
Dalam kritiknya, Trump mengaitkan kekusutan perdagangan dengan dasar Asia berhubung Korea Utara, selepas Korea Selatan mengatakan ia mencepatkan pengerahan sistem pertahanan peluru berpandu AS (THAAD) yang telah mengundang kemarahan China.
“Saya sangat kecewa dengan China, pemimpin-pemimpin lalu kita telah membiarkan mereka melakukan perdagangan beratu-ratus bilion dolar setahun, namun mereka tidak melakukan apa-apa bagi kita berhubung Korea Utara, hanya berunding,” komen Trump.
“Kita tidak akan membiarkan perkara ini berlanjutan. China boleh dengan mudah menyelesaikan masalah ini.” – AFP