Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China hantar angkasawan termuda, tikus ke angkasa

    JIUQUAN, 30 OKT – Kru bagi pesawat China yang dihantar ke stesen angkasa Tiangong akan merangkumi angkasawan termuda negara itu yang pernah menyertai misi angkasa, menurut pihak berkuasa hari ini, bersama empat ekor tikus makmal.

    Stesen angkasa Tiangong, yang dikendalikan oleh pasukan tiga angkasawan yang diganti setiap enam bulan, merupakan permata utama dalam program angkasa China, yang menerima pelaburan berbilion dolar dalam usaha mengejar kemajuan Amerika Syarikat dan Rusia.

    Misi Shenzhou-21 dijadualkan dilancarkan pada jam 11:44 malam Jumaat dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, kata jurucakap Agensi Angkasa Dikendalikan Manusia China (CMSA), Zhang Jingbo.

    Jurutera penerbangan Wu Fei, yang baru berusia 32 tahun, akan menjadi angkasawan termuda China yang menyertai misi angkasa, menurut pihak berkuasa.

    “Saya berasa amat bertuah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Zhang Hongzhang (kiri), Komander Zhang Lu (tengah) dan Wu Fei (kanan) melambai semasa sidang media sehari sebelum pelancaran misi tersebut di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, Gurun Gobi, di barat laut China, kelmarin. – AFP

    “Berpeluang menggabungkan impian peribadi saya ke dalam perjalanan gemilang program angkasa China adalah anugerah terbesar yang dikurniakan oleh zaman ini,” ujarnya lagi.

    Wu akan diketuai oleh juruterbang angkasa berpengalaman Zhang Lu, 48, yang pernah mengambil bahagian dalam misi Shenzhou-15 lebih dua tahun lalu.

    Zhang Hongzhang, 39, pakar kargo misi tersebut, melengkapkan pasukan tiga anggota itu.

    Turut serta dalam misi berkenaan ialah empat ekor tikus makmal, dua jantan dan dua betina, yang akan digunakan dalam eksperimen pertama China melibatkan tikus di orbit, kata jurucakap CMSA, Zhang.

    Komander Zhang Lu menyatakan keyakinannya bahawa pasukannya akan “melaporkan kejayaan penuh kepada tanah air dan rakyat kami.”

    Program angkasa Beijing, yang merupakan program ketiga di dunia berjaya menghantar manusia ke orbit, sebelum ini telah mendaratkan penjelajah robot di Marikh dan Bulan.

    China kini mempergiat usaha merealisasikan ‘impian angkasa’ di bawah pimpinan Presiden China, Xi Jinping. Beijing menyasarkan untuk menghantar misi manusia ke Bulan menjelang tahun 2030, di mana ia berhasrat membina pangkalan di permukaan bulan.

    CMSA dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa pihaknya berpegang teguh kepada matlamat tersebut dan kini melaksanakan beberapa ujian penting akan datang sebagai persediaan, termasuk ujian pendarat bulan Lanyue dan kapal angkasa berawak Mengzhou. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda