Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    China hantar pasukan kesihatan ke Myanmar

    KUNMING, 20 APRIL – Sebuah pasukan kesihatan China yang terdiri daripada 50 anggota berlepas ke Myanmar kelmarin untuk membantu dalam pencegahan wabak pasca bencana susulan gempa bumi berkekuatan 7.9 magnitud yang melanda negara itu pada bulan Mac lalu.

    Pasukan itu dihantar atas permintaan Myanmar sebagai sebahagian daripada bantuan kemanusiaan China yang diperluaskan yang diumumkan pada 10 April lalu. Pasukan itu terdiri daripada 12 anggota dari Beijing dan 38 pakar perubatan dari Kunming, ibu kota Wilayah Yunnan di barat daya China.

    Pasukan yang dilengkapi dengan bekalan perubatan kecemasan dan peralatan itu akan memberi tumpuan kepada usaha untuk mengurangkan risiko penyakit di kawasan yang terjejas oleh gempa bumi tersebut.

    Mereka akan beroperasi terutamanya di Mandalay, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas, untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penyakit. Tugas mereka termasuk penilaian risiko penyakit berjangkit, pemantauan epidemiologi, ujian makmal, pembasmian kuman persekitaran, kawalan vektor, pemeriksaan keselamatan air minuman, pendidikan kesihatan awam, serta latihan teknikal kepada kakitangan tempatan.

    Pasukan itu turut melibatkan pakar dari Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Nasional (NDCPA) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China.

    Timbalan pengarah jabatan respons kecemasan NDCPA dan ketua misi, Chen Lei berkata bahawa gempa bumi itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada infrastruktur kesihatan awam dan cuaca panas melampau serta hujan lebat telah memburukkan lagi penularan wabak kolera, campak, demam denggi dan malaria.

    Gempa bumi yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu telah mengorbankan 3,726 nyawa dan mencederakan 5,105 orang, dengan 129 orang lagi masih hilang setakat 18 April, menurut data rasmi yang dikeluarkan kelmarin. – Xinhua

    Bekalan yang dihantar bersama pasukan kesihatan awam ke Myanmar dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui di Kunming, Wilayah Yunnan barat daya China kelmarin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda