BEIJING, 2 MAC – China telah mengharamkan guru-guru sekolah daripada melaksanakan sebarang hukuman yang boleh mengakibatkan trauma fizikal atau mental, selepas beberapa kematian pelajar dikaitkan dengan disiplin keras dalam beberapa tahun ini.
Peraturan baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan yang berkuat kuasa semalam melarang hukuman di sekolah yang memalukan pelajar, serta memperkukuh pengharaman hukuman dera.
Amalan diharamkan termasuk sebat, membuat pelajar berdiri atau melutut di atas lantai berjam-jam lamanya dan kata-kata maki.
Pelajar kini digalakkan menulis surat mohon maaf atau melakukan kerja dalam bilik darjah atas kesalahan kecil seperti lupa membuat kerja sekolah mereka. Mereka yang melakukan kesalahan lebih serius seperti membuli mungkin digantung sekolah atau dinasihatkan menjalani kaunseling.
China mengharamkan hukuman dera pada 1986, tetapi penguatkuasaannya adalah longgar dan ibu bapa sering menutup mata kepada amalan tersebut. Kementerian tidak berkata bagaimana ia merancang menghukum guru yang tidak mematuhi peraturan itu. – AFP