BEIJING, 30 APRIL – Seorang penyelidik di Beijing sedang menjalankan eksperimen terhadap vaksin yang dihasilkannya iaitu ‘Coronavac’ bagi merawat wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Vaksin yang dihasilkan oleh syarikat Sinovac Biotech itu adalah satu daripada ujian klinikal yang diluluskan di China dan mereka mendakwa perkembangan vaksin itu berjalan dengan sangat baik. Ia memberikan keputusan sebagaimana diharapkan melalui eksperimen terhadap sekumpulan monyet. Sementara itu, ujian terhadap manusia baru sahaja dimulakan dengan syarikat berkenaan bersedia untuk mengeluarkan 100 juta dos ‘Coronavac’ setahun bagi memerangi COVID-19.
Sementara itu, ujian terhadap manusia baru sahaja dimulakan dengan syarikat berkenaan bersedia untuk mengeluarkan 100 juta dos ‘Coronavac’ setahun bagi memerangi COVID-19.
Ribuan suntikan vaksin daripada patogen tidak aktif ini telah siap dihasilkan dan dibungkus dalam kotak berwarna putih dan oren dengan nama ‘Coronavac’. Walaupun vaksin ini masih tidak boleh dipasarkan dan perlu melalui proses kelulusan yang panjang, pihak syarikat dikehendaki menghasilkannya dalam skala besar dan menghantarnya mengikut jumlah tertentu supaya ia dapat dikawal oleh pihak berkuasa.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran bahawa proses membangunkan vaksin mengambil masa kira-kira 12 hingga 18 bulan dan Sinovac juga tidak pasti bilakah dos vaksin dihasilkannya akan berada di pasaran.
“Ini adalah soalan yang setiap orang ajukan,” kata Pengarah Pengurusan Jenama Sinovac, Liu Peicheng kepada AFP.
Lebih daripada 100 makmal di seluruh dunia cuba tampil dengan vaksin bagi melawan COVID-19, bagaimanapun cuma tujuh daripadanya termasuk Sinovac yang berada dalam senarai saringan ujian klinikal, menurut London School of Hygiene and Tropical Medicine.
China sebelum ini juga pernah melakukan percubaan dan ujian untuk menghasilkan vaksin bagi menyembuhkan penyakit virus COVID-19 yang kini telah membunuh ratusan ribu nyawa di seluruh dunia. – AFP
