XINING – Terdapat ledakan pembinaan bangunan di kawasan dataran tinggi Tibet, salah satu kawasan terpencil di dunia. Kawasan pergunungan yang panjang ini dihiasi dengan bendera-bendera kecil yang berwarna-warni dengan tiang-tiang tenaga kuasa yang berdiri di sepanjang kawasan tersebut.
Pada waktu malam, tanda stesen gas Sinopec memancarkan cahaya merah di atas lebuh raya yang baru sahaja dibina di kawasan tersebut.
Dikenali sebagai dataran tertinggi di dunia, rantau tersebut telah lama dikenali sebagai ‘bumbung dunia’ dan kini berada dalam proses pemodenan dari China, di mana beberapa buah bangunan pencakar langit dan perkembangan laluan kereta api berkelajuan tinggi mula dibuat di kawasan tersebut.
Akan tetapi terdapat perbezaan, di mana, kali ini pihak kerajaan China ingin menetapkan had ke atas pertumbuhan di rantau tersebut bagi melaksanakan versinya yang tersendiri iaitu salah satu warisan yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) – sistem taman negara.
Pada bulan Ogos lalu, para penggubal dasar dan saintis dari China, AS dan negara-negara lain sedang berkumpul di Xining, ibu negara wilayah Qinghai, bagi membincangkan rancangan pihak kerajaan China bagi mewujudkan satu sistem yang bersatu dengan standard yang jelas bagi mengehadkan pembangunan dan melindungi ekosistem.



Mementingkan aspek pemuliharaan
Zhu Chunquan, perwakilan China dari Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam, sebuah kumpulan saintifik yang berpangkalan di Switzerland, menyatakan bahawa ekonomi negara itu telah berkembang sejak 40 tahun yang lalu. Namun keutamaan itu terus dikembangkan kepada kerja-kerja pemuliharaan termasuk pemuliharaan alam semula jadi.
“Sangat cepat untuk mengenal pasti kawasan-kawasan ini, ekosistem dan ciri semula jadi yang memaparkan satu kelainan dan yang penting adalah untuk perlindungan,” kata Zhu kepada media.
China turut bermatlamat untuk membina Yellowstone mereka sendiri di dataran tinggi Tibet itu. Zhu yang sedang berkhidmat dengan jawatankuasa penasihat memberikan respons mengenai pembangunan sistem taman nasional China yang dijangka secara rasmi bakal diumumkan pada tahun 2020. Pegawai-pegawai China juga telah mengadakan lawatan ke AS, termasuk Yellowstone dan Yosemite serta meminta pandangan daripada pelbagai organisasi, termasuk dari Chicago – Paulson Institute dan Nature Conservancy.
“Impian China itu adalah untuk mewujudkan satu sistem taman bersatu mewakili usaha baharu dan serius bagi melindungi biodiversiti serta warisan semula jadi China,” kata ahli ekologi Duke University, Stuart Pimm. Salah satu taman perintis pertama berada di Qinghai, rantau yang luas di barat China dan berkongsi banyak warisan budayanya bersama Tibet. Kawasan ini juga merupakan rumah kepada spesies ikonik dan terancam seperti Snow Leopard dan Chinese Mountain Cat dan gabungan tiga aliran air Asia iaitu Sungai Yangtze, Yellow dan Mekong.
China sebelum ini telah melaksanakan program penempatan semula yang luas bagi membersihkan tanah bagi projek-projek infrastruktur yang besar seperti Empangan Three Gorges, menyebabkan banyak petani di kediaman baharu mereka berdepan dengan keadaan tanah yang tidak bersesuaian malah sukar untuk mendapatkan mata pencarian yang lain.
Dalam usaha mereka untuk membangunkan taman negara, pihak kerajaan itu perlu memberikan pekerjaan yang berhubungan dengan pemuliharaan kepada sekurang-kurangnya satu kumpulan dan tinggal di kawasan berdekatan taman perintis Qinghai – yang turut dipanggil sebagai Sanjiangyuan.
Program ‘Satu Keluarga, Satu Renjer’ turut diperkenalkan bagi keluarga tempatan dengan bayaran 1,800 yuan sebulan bagi melakukan tugasan seperti mengumpul sampah dan pemantauan bagi aktiviti pemburuan haram.
Kunchok Jangtse merupakan penduduk tempatan Tibet yang mendapat wang daripada kerjanya membersihkan sampah melalui program itu. Dia turut memasang beberapa buah kamera bagi membantu saintis memantau gerakan spesies terancam di Qinghai.
Idea perlindungan di China ini bukanlah sesuatu yang baharu namun sebenarnya, kira-kira 15 peratus daripada tanah negara sudah dikawal selia oleh penduduk tempatan dan serantau.
Namun banyak rizab yang dilindungi hanya tertulis di atas kertas sahaja tanpa ada garis panduan yang boleh dikuatkuasakan.
Ouyang Zhiyun, timbalan pengarah di Pusat Penyelidikan Akademi Sains China untuk Sains Alam Sekitar, telah menjadi saintis utama bagi penilaian ekosistem kebangsaan di mana dia telah menggunakan 20,000 imej satelit dan 100,000 kaji selidik lapangan bagi melihat bagaimana perubahan tanah China boleh terjadi antara tahun 2000 dan 2010. – AP