Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    China hentikan pembelian LNG dari AS

    MOSCOW, 21 APRIL – China menghentikan pembelian gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS) pada Mac, sebaliknya meningkatkan import bahan api itu dari Australia, Indonesia dan Brunei, menurut analisis data kastam China dipetik RIA Novosti.

    Pada 2024, AS adalah antara lima pembekal utama LNG ke pasaran China, dengan jumlah eksport sebanyak 4.15 juta tan bernilai AS$2.4 bilion.

    Pada Januari 2025, China membeli 194,200 tan LNG daripada syarikat AS bernilai AS$125.4 juta, namun jumlah itu merosot kepada 65,800 tan dengan nilai AS$31.4 juta pada Februari.

    Pada Mac, tiada sebarang penghantaran LNG dari AS ke China direkodkan, menjadikannya gangguan pertama sejak Jun 2022.

    Bagaimanapun, China menampung kekurangan itu dengan meningkatkan pembelian daripada negara jiran serantau.

    Indonesia mencatatkan peningkatan eksport sebanyak 1.7 kali ganda kepada AS$330.7 juta, manakala Australia meningkatkan bekalan sebanyak 18 peratus kepada AS$778.4 juta.

    Di samping itu, China turut menyambung semula import dari Brunei dengan jumlah bernilai AS$51 juta pada Mac.

    Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang memperkenalkan tarif timbal balik terhadap import dari negara luar, termasuk kadar tertinggi ke atas China.

    Langkah itu menyumbang kepada peningkatan ketegangan dalam perang perdagangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia. – Bernama

    Gambar bertarikh 29 Oktober 2024 menunjukkan sebuah kapal kontena LNG berlabuh di terminal LNG China Petrochemical Corporation (Sinopec) di utara China Tianjin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda