Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, Indonesia sinergi naik taraf khidmat bayaran QR rentas sempadan

    SHANGHAI, 21 JAN – China dan Indonesia akan bekerjasama mempromosikan kesalinghubungan kod QR rentas sempadan di bawah bimbingan bank pusat kedua-dua negara, bagi menambah baik pengalaman pembayaran rentas sempadan.

    Langkah itu diumumkan UnionPay International, Persatuan Sistem Pembayaran Indonesia (ASPI), Ant International dan Bank of China (Hong Kong) Cawangan Jakarta kelmarin.

    Menurut perjanjian, UnionPay akan bekerjasama dengan ketiga-tiga pihak tersebut untuk menaik taraf perkhidmatan pembayaran untuk pelancong China di Indonesia.

    Selepas program itu diwujudkan, pelancong China boleh membuat pembayaran di Indonesia menerusi aplikasi pembayaran utama di China, termasuk aplikasi UnionPay, aplikasi bank komersial yang disambungkan ke ‘Platform Pembayaran Dalam Talian UnionPay’ di China dan Alipay.

    Pada masa sama, Indonesia juga akan menyatukan piawaian pembayaran kod QR–QRIS untuk membuat pembayaran dengan mengimbas kod QR daripada peniaga.

    Untuk rekod, terdapat kira-kira 34 juta peniaga di Indonesia kini telah mengguna pakai piawaian QRIS.

    Difahamkan, kerjasama kali ini merupakan satu lagi amalan penting antara UnionPay yang bertindak sebagai institusi pembayaran domestik China dengan rangkaian pembayaran luar negara, selepas program kerjasama serupa dengan Malaysia, Kemboja, Laos, Vietnam dan negara lain. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda