BEIJING, 30 APRIL – Kementerian Pertahanan China semalam menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya mengawal kekuatan tenteranya yang menurut Beijing semakin aktif di udara dan perairan berdekatan China terutama Laut China Selatan.
China mengulangi pendirian bahawa kehadiran tentera AS di Laut China Selatan, Laut China Timur dan Selat Taiwan adalah faktor utama ketidakstabilan di rantau itu.
Kelmarin, Presiden AS, Joe Biden, dalam ucapan sulungnya di Kongres, sekali lagi menegaskan negara AS mempunyai kebebasan untuk belayar di laluan laut antarabangsa di wilayah berkenaan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Wu Qian berkata sejak pentadbiran Biden, operasi kapal perang tentera laut AS meningkat 20 peratus dan kehadiran pesawat risik AS meningkat 40 peratus berbanding tahun lalu.
Ketika AFP meminta maklum balas mengenai pendirian China, Majlis Keselamatan Nasional AS memohon ia dirujuk kepada Jabatan Pertahanan AS, yang enggan mengulas lanjut.
Awal April lalu, Tentera Laut AS memuat naik foto kapal pemusnah peluru berpandu AS, USS Mustin, di laman sesawang utamanya, yang menyaksikan pesawat China, Liaoning, melakukan latihan dekat perairan Taiwan. – AFP
