Saturday, January 4, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China jangka 9 bilion trip pada Tahun Baharu Cina

    BEIJING, 1 JAN – Sekitar sembilan bilion perjalanan antara wilayah dijangka dicatatkan di China sepanjang musim puncak perjalanan bagi menyambut Tahun Baharu Cina yang akan datang, menurut satu sidang telekomunikasi kebangsaan kelmarin.

    Angka ini diunjurkan meningkat tujuh peratus daripada musim puncak perjalanan perayaan tahun lepas dan berpotensi mencatat rekod tertinggi, lapor agensi berita Xinhua.

    Musim perjalanan tahunan ini, yang dikenali sebagai Chunyun, lazimnya menyaksikan lonjakan permintaan pengangkutan apabila orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga. Chunyun bagi tahun 2025 dijadual berlangsung dari 14 Jan hingga 22 Feb 2025.

    Jumlah perjalanan merentas wilayah menggunakan kereta api dan penerbangan awam juga dijangka mencatat rekod baharu, masing-masing sebanyak 510 juta dan 90 juta perjalanan.

    Lapan jabatan kerajaan, termasuk Kementerian Pengangkutan, kelmarin mengumumkan pelan tindakan untuk memastikan keselamatan, kelancaran operasi, dan perkhidmatan semasa musim perjalanan itu.

    Menurut Xinhua, pelan itu merangkumi langkah-langkah untuk memastikan bekalan perkhidmatan pengecasan bagi kenderaan tenaga baharu (NEV), termasuk usaha membuka lebih banyak kemudahan pengecasan di kawasan perkhidmatan yang sibuk serta memberi panduan kepada pemandu untuk memastikan tempat letak kenderaan dan pengecasan dilakukan secara teratur semasa tempoh perjalanan puncak.

    Perayaan Tahun Baharu Cina, yang merupakan perayaan tradisional paling penting di China, akan disambut pada 29 Januari 2025. — Bernama 

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda