BEIJING, 31 MEI – Kementerian Perdagangan China berkata kelmarin bahawa ia akan menyekat eksport beberapa peralatan dan teknologi berkaitan penerbangan dan aeroangkasa mulai 1 Julai.
Notis pada laman web kementerian itu berkata langkah itu adalah untuk menjaga keselamatan dan kepentingan negara serta memenuhi kewajipan antarabangsa seperti pengawalan. Eksport item yang ditetapkan di bawah peraturan baharu ini akan memerlukan lesen eksport.
Pengumuman itu dikeluarkan bersama dengan Pentadbiran Am Kastam China dan jabatan pembangunan peralatan Pusat Suruhanjaya Tentera.
Ia berkata kawalan eksport akan digunakan untuk pesawat dan enjin aeroangkasa dan bahagian struktur, peralatan berkaitan pembuatan enjin, perisian dan teknologi. Ia juga termasuk alatan, acuan, lekapan dan peralatan pemprosesan lain yang digunakan untuk membuat bahan tertentu seperti ‘superplastik’ yang diadun dengan bahan titanium, aluminium dan aloi.
Notis dari Kementerian Perdagangan menyatakan kawalan itu juga membbaitkan teknologi yang digunakan dalam pembangunan, pembuatan dan penggunaan peralatan, termasuk lukisan reka bentuk, spesifikasi proses, parameter proses, prosedur pemprosesan, data simulasi dan seumpamanya.
Kesan keseluruhan langkah itu tidak jelas. China mengeksport bahagian enjin dan komponen pesawat dan ruang angkasa lain. Ia juga telah membangunkan enjin jetnya sendiri. Namun ia masih bergantung kepada pembekal asing untuk bahagian penting pesawat yang telah dihasilkannya sendiri. – AP