China kecam kekangan visa AS

BEIJING, 9 OKT – Beijing hari ini mencela keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat visa bagi para pegawai China yang berkaitan dengan penindasan masyarakat Islam Xinjiang dan menyeru Washington untuk membatalkan langkah itu.

AS telah mempertingkatkan kritikannya atas layanan China terhadap Uighur dan minoriti Islam lain di barat rantau itu, di mana kumpulan hak asasi berkata lebih satu juta telah ditahan di kem-kem penahanan.

Washington pada awal minggu ini mengumumkan menyenaraihitamkan 28 entiti China yang terlibat dalam pencabulan hak di Xinjiang, yang China katakan berdasarkan dakwaan ‘tidak berasas’.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengumumkan sekatan visa kelmarin, menggesa China untuk menghentikan ‘kempen penindasan’ di rantau itu dan membebaskan mereka yang ditahan.

China baru-baru ini telah menafikan kewujudan kem itu, namun kemudian menyifatkannya sebagai ‘pusat pendidikan vokasional’ di mana mereka mempelajari Bahasa Mandarin dan kemahiran kerja sebagai langkah mencegah pengganasan. – AFP