Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China kecam larangan perdagangan AS

    BEIJING, 23 SEPT – China memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) hari ini supaya tidak mengambil tindakan diskriminasi terhadap syarikatnya, berikutan laporan Washington merancang untuk mengharamkan penjualan kenderaan menggunakan teknologi dari China dan Rusia.

    Menurut sumber yang dipetik daripada Bloomberg dan media lain melaporkan kelmarin, AS sedang menimbang peraturan baharu yang akan mengharamkan perkakasan dan perisian buatan China daripada kenderaannya.

    Semasa ditanya mengenai laporan itu, jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata China menggesa AS supaya menghormati prinsip pasaran dan menyediakan persekitaran perniagaan yang terbuka, adil, telus dan tidak diskriminasi untuk perusahaan China.

    “China menentang bagi perluasan konsep keselamatan negara oleh AS dan tindakan diskriminasi yang diambil terhadap syarikat dan produk China,” kata Lin.

    “China dengan tegas akan melindungi hak dan kepentingannya yang sah,” tambahnya.

    Peraturan itu, jika disahkan, akan menandakan peningkatan terkini konflik perdagangan yang semakin tegang antara AS dan China.

    Pada Mei lalu, Washington melancarkan kenaikan tarif yang tinggi ke atas import China seperti kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.

    Kenaikan tarif tersebut mencecah AS$18 bilion import China, menyasarkan sektor strategik seperti EV, bateri, mineral dan produk perubatan, kata Rumah Putih. – AFP

    Gambar menunjukkan pengeluaran EV di kilang Leapmotor di Jinhua, wilayah Zhejiang timur China pada 18 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda