BEIJING, 24 Ogos – Kementerian Perdagangan China hari ini mengecam keputusan AS untuk melancarkan penyiasatan perdagangan ke atas dasar teknologi Beijing sebagai serangan ke atas sistem dagangan sejagat dan berkata ia akan ‘dengan tegas mempertahankan’ syarikat-syarikat China.
Kumpulan-kumpulan perdagangan menyambut baik arahan Presiden Donald Trump pada 14 Ogos lalu untuk meneliti sama ada Beijing secara tidak wajar mensyaratkan syarikat-syarikat menyerahkan teknologi sebagai syarat-syarat memasuki pasaran.
Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer mengumumkan penyiasatan rasmi minggu ini. Tindakan dengan tidak wajar menggunakan undang-undang AS dan bukannya peraturan antarabangsa dan ia adalah ‘kemusnahan sistem perdagangan antarabangsa yang sedia ada’, kata jurucakap kementerian itu, Gao Feng, pada sesi taklimat berita.
“Kami secara tegas tidak puas hati dengan amalan sehala dan bersifat perlindungan ini dan kami akan mengambil langkah perlu untuk dengan tegas mempertahankan hak-hak sah dan kepentingan pihak China dan perusahaan China,” ujar Gao.
Beijing mensyaratkan pengeluar-pengeluar automobil dan syarikat-syarikat asing lain di China untuk berfungsi menerusi usaha sama, lazimnya dengan rakan-rakan milik kerajaan.
Mereka kerap kali dikehendaki untuk memberikan teknologi kepada rakan-rakan yang mungkin menjadi pesaing-pesaing.
Lebih 20 peratus daripada 100 buah syarikat Amerika yang memberi respons kepada tinjauan oleh Majlis Perniagaan AS-China, sebuah kumpulan industri, mengatakan mereka diminta memindahkan teknologi dalam tempoh tiga tahun lalu sebagai syarat kemasukan pasaran.
Kumpulan-kumpulan perniagaan asing merungut, syarikat-syarikat disingkirkan dari pasaran-pasaran China yang mempunyai harapan cerah atau ditekan supaya menyerahkan teknologi bagi kereta elektrik dan industri-industri lain yang sedang berkembang.
Trump berkata pada April lalu beliau mengetepikan pertikaian perdagangan ketika Washington dan Beijing bekerjasama untuk memujuk Korea Utara untuk melepaskan usaha memajukan senjata nuklear. – AP