NEW YORK, 5 JUN – Seorang utusan China kelmarin mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto ke atas draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata segera di Gaza dan penamatan sekatan bantuan kemanusiaan, lapor Xinhua.
China amat kecewa terhadap keputusan undian kelmarin itu, kata Fu Cong, wakil tetap China ke PBB.
Draf resolusi itu mencerminkan tuntutan mendesak rakyat Gaza dan suara masyarakat antarabangsa, katanya.
“AS sekali lagi menyalahgunakan kuasa vetonya, memadamkan harapan rakyat Gaza dan terus meninggalkan lebih dua juta orang dalam kegelapan. Mereka mesti menghadapi persoalan daripada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Sebagai badan utama yang memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa, Majlis Keselamatan berusaha mencapai konsensus untuk menghentikan pertempuran di Gaza, tegas Fu.

Beliau berkata, keputusan undian itu sekali lagi mendedahkan punca utama kegagalan majlis meredakan konflik di Gaza hasil halangan berulang kali oleh AS.
Washington beberapa kali menggunakan veto bagi menggagalkan desakan gencatan senjata di Gaza oleh Majlis Keselamatan.
Perlindungan yang diberi kepada Israel juga telah menghalang pelaksanaan beberapa resolusi berkenaan Gaza, katanya.
AS mendakwa tindakan Majlis Keselamatan ketika ini akan mengganggu usaha diplomasi, tetapi dakwaan itu tidak berasas sama sekali, kata Fu.
“Jika usaha diplomasi benar-benar untuk damai, maka tindakan majlis hanya akan memberikan sokongan kukuh,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan, menegakkan kedaulatan undang-undang antarabangsa dan memelihara kewibawaan Majlis Keselamatan.
Veto oleh seorang ahli tetap tidak akan mampu menghalang langkah ke arah keamanan, katanya.
“Kami mendesak AS untuk memikul tanggungjawab sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan, meninggalkan percaturan politik, dan bersikap adil serta bertanggungjawab dalam menyokong majlis mengambil semua tindakan perlu,” katanya. – Bernama