Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    China keluarkan amaran banjir, tanah runtuh

    BEIJING, 24 JULAI – Pihak berkuasa di utara China memberi amaran bahawa hujan lebat mungkin menyebabkan banjir dan tanah runtuh hari ini, dengan mengeluarkan respons banjir kedua tertinggi di negara itu.

    China sedang mengalami musim panas dengan cuaca ekstrem, dengan hujan lebat melanda kawasan timur dan selatan, manakala sebahagian besar kawasan utara dicengkam gelombang panas berturut-turut.

    Selepas beberapa hari suhu panas melebihi 35 darjah Celsius di Beijing, pihak berkuasa bandar itu hari ini mengaktifkan respons pencegahan banjir kedua tertinggi.

    Hujan sehingga 150 milimeter dijangka melanda sebahagian ibu negara, yang mempunyai populasi 22 juta orang – dalam tempoh 24 jam antara hari ini dan esok malam, menurut kenyataan di laman rasmi WeChat bandar itu.

    “Hujan lebat itu boleh mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh, gelongsoran tanah dan bencana lain,” menurut kenyataan itu.

    Pihak berkuasa bandar di wilayah berkenaan telah mengarahkan penutupan sementara beberapa tempat pelancongan serta rumah tumpangan di kawasan pergunungan dan tepi sungai atas sebab-sebab keselamatan, tambah kenyataan itu.

    Penduduk Beijing menerima pesanan teks yang menggesa mereka mengurangkan aktiviti luar, menjauhkan diri dari kawasan berbukit atau tepi sungai dan mengambil perhatian terhadap tempat perlindungan.

    Pihak berkuasa di wilayah jiran Hebei, yang berdekatan Beijing dengan lebih daripada 70 juta penduduk, turut memberi amaran mengenai banjir, lapor agensi berita rasmi Xinhua. – AFP

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda