Wednesday, April 30, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China keluarkan amaran jingga risiko kebakaran hutan sempena cuti Hari Buruh

    BEIJING, 30 APRIL – Pihak berkuasa China hari ini mengeluarkan amaran jingga, iaitu peringkat kedua tertinggi dalam sistem amaran kebakaran hutan negara itu, bagi tempoh antara 1 hingga 5 Mei sempena cuti Hari Buruh.

    Amaran itu dikeluarkan oleh Pejabat Perintah Kawalan Kebakaran Hutan dan Padang Rumput Kebangsaan serta Kementerian Pengurusan Kecemasan (MEM), melibatkan beberapa wilayah seperti Hebei, Shanxi, Henan dan Shaanxi yang dijangka berisiko tinggi menghadapi kebakaran hutan sepanjang lima hari percutian tersebut.

    Menurut kenyataan rasmi, semua jabatan pengurusan kecemasan diarahkan untuk memantau dengan teliti perubahan risiko kebakaran, melaksanakan langkah amaran awal serta respons segera, memperketat kawalan terhadap sumber kebakaran, memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan dan menangani ancaman kebakaran hutan dengan lebih berkesan.

    MEM memaklumkan bahawa kebakaran hutan dan padang rumput tergolong dalam lapan jenis bencana alam utama di China. Namun, menurut pegawai MEM, Yang Xudong, semasa sambutan Hari Hutan Sedunia pada 21 Mac lalu, insiden kebakaran hutan di China menunjukkan trend penurunan secara keseluruhan sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

    Berdasarkan statistik, antara tahun 1950 hingga 1989, China mencatat purata sekitar 16,000 kes kebakaran hutan setiap tahun. Angka itu menurun kepada 6,000 kes setahun antara 1990 hingga 2020 dan sejak 2021, kes menurun lagi kepada kurang daripada 1,000 kes setahun.

    Yang turut menjelaskan bahawa lebih 90 peratus kebakaran hutan berpunca daripada faktor manusia berbanding faktor semula jadi.

    China menggunakan sistem amaran empat peringkat bagi kebakaran hutan, dengan warna merah sebagai tahap tertinggi, diikuti jingga, kuning dan biru. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda