BEIJING, 4 OGOS – Pihak berkuasa di Beijing telah menaik taraf amaran hujan lebat ke tahap tertinggi hari ini susulan hujan lebat yang melanda ibu negara China sepanjang minggu lalu.
Pada jam 1 tengah hari, Perkhidmatan Meteorologi Beijing mengeluarkan amaran merah bagi hujan lebat, iaitu tahap tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat di China, dengan ramalan hujan lebat akan melanda seluruh bandar dari tengah hari tadi hingga pagi esok.
Kebanyakan kawasan di Beijing dijangka menerima lebih 100 milimeter (mm) hujan dalam tempoh enam jam, manakala sesetengah kawasan berpotensi mencatat lebih 200mm.
Sementara itu, pihak berkuasa air Beijing bersama jabatan meteorologi turut mengeluarkan amaran banjir, dengan Daerah Miyun dikenal pasti sebagai kawasan paling berisiko, selain Fangshan, Mentougou dan Huairou yang turut berada dalam zon bahaya. – Xinhua


