Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    China kenakan sekatan ke atas dua bank Lithuania

    BEIJING, 14 OGOS – China mengenakan sekatan terhadap dua bank Lithuania sebagai tindakan balas terhadap langkah Kesatuan Eropah (EU) yang memasukkan dua institusi kewangan China dalam pusingan terbaharu sekatannya ke atas Rusia.
     
    Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan kelmarin, UAB Urbo Bankas dan Mano Bankas AB dari Lithuania dilarang daripada menjalin sebarang kerjasama dengan individu atau institusi di China.
     
    EU pada Julai lalu meluluskan pusingan sekatan baharu terhadap individu dan syarikat yang menyokong Rusia dalam peperangannya dengan Ukraine, yang berkuat kuasa pada 9 Ogos. 
     
    Antara yang dikenakan sekatan termasuk beberapa syarikat China, walaupun Kementerian Perdagangan China tidak menamakan institusi kewangan yang terlibat.
     
    “EU, tanpa menghiraukan pendirian tegas China, tetap memasukkan dua institusi kewangan China ke dalam senarai sekatan atas dakwaan terlibat dengan Rusia, dan secara rasmi melaksanakan sekatan tersebut pada 9 Ogos,” kata kenyataan itu.
     
    Kenyataan tersebut menambah bahawa langkah itu ‘menjejaskan teruk hak dan kepentingan sah syarikat China, serta memberi kesan negatif yang serius  terhadap hubungan ekonomi, perdagangan dan kerjasama kewangan China-EU.’
     
    NATO sebelum ini pernah menggelar China sebagai ‘penyumbang penentu’ kepada usaha perang Rusia kerana syarikat-syarikatnya menjual peralatan, kelengkapan dan mikroelektronik. – AP
     
    Seorang pekerja bertugas di jabatan operasi UAB Urbo Bankas, Lithuania, yang dikenakan sekatan oleh Kementerian Perdagangan China di Vilnius, Lithuania, pada 14 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda