Monday, March 10, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    China kenakan tarif balas barangan Kanada

    BEIJING, 9 MAC – China kelmarin mengumumkan tarif balas terhadap beberapa barangan pertanian dan makanan dari Kanada, selepas Kanada mengenakan cukai ke atas kenderaan elektrik buatan China serta produk keluli dan aluminium pada bulan Oktober lalu.

    Cukai baharu itu akan berkuat kuasa pada 20 Mac, menurut satu kenyataan oleh Suruhanjaya Tarif Kastam Majlis Negeri. Tarif tambahan sebanyak 100 peratus akan dikenakan ke atas minyak biji kanola Kanada, kek minyak dan kacang, manakala tarif tambahan sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas daging khinzir dan produk akuatik.

    Tarif tersebut menambah ketegangan perdagangan global yang sudah tinggi, dengan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat, China, Kanada dan Mexico.

    Tarif itu dikenakan sebagai balasan terhadap tindakan Ottawa yang mengenakan tarif ke atas barangan import China pada Oktober lalu, termasuk cukai tambahan sebanyak 100 peratus ke atas semua kenderaan elektrik buatan China dan 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium.

    “Walaupun China telah berulang kali menentang dan memberi amaran, Kanada telah mengambil tindakan sebelah pihak yang mengehadkan ke atas kenderaan elektrik, keluli, aluminium dan produk lain yang diimport dari China tanpa sebarang siasatan, yang merosakkan hubungan ekonomi dan perdagangan China-Kanada,” kata kenyataan dari pihak kastam.

    Keputusan untuk mengenakan tarif balas itu diambil selepas satu “siasatan anti-diskriminasi, yang mendapati bahawa tindakan pengehadan Kanada ke atas beberapa produk China telah mengganggu susunan perdagangan yang normal dan merugikan hak dan kepentingan sah syarikat China,” tambah kenyataan itu.

    Kanada mengumumkan tarif ke atas barangan China pada bulan Ogos lalu selepas tindakan serupa dikenakan oleh AS dan Kesatuan Eropah terhadap kenderaan elektrik buatan China dan produk lain. Kerajaan Barat mendakwa subsidi China memberikan kelebihan yang tidak adil kepada industri mereka. – AP

    Seorang pekerja memindahkan kabel keluli di sebuah kilang keluli di Qingdao, wilayah Shandong, China timur, pada 8 Jun 2018. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda