Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China kendali lebih 100 bilion bungkusan

    BEIJING, 10 JULAI – Sektor perkhidmatan kiriman cepat China telah mengendalikan lebih 100 bilion bungkusan setakat ini, menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Pos Negara hari ini, lapor Xinhua.

    Biro itu menyatakan bahawa pencapaian 100 bilion itu dicapai 35 hari lebih awal berbanding pada 2024, menjadikannya tahun kelima berturut-turut China mengendalikan lebih 100 bilion bungkusan. Seiring dengan pengembangan pasaran pengguna dan e-dagang yang semakin popular, sektor kurier memainkan peranan semakin penting dalam menyokong industri berkaitan serta memacu pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, kata seorang pegawai biro berkenaan.

    Sejak awal tahun ini, China telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk merangsang penggunaan. Sebagai contoh, negara itu telah menambah lebih banyak kategori produk dalam program tukar beli barangan pengguna bagi memacu permintaan domestik dan membuka potensi pengguna.

    China mengesahkan sokongan terhadap program nasional itu bulan lalu dengan memberi jaminan bahawa pembiayaan akan diteruskan bagi mengekalkan pembayaran subsidi kerajaan sepanjang 2025.

    Bagi meningkatkan impak program berkenaan, sektor kurier sedang berusaha menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan mudah dengan sokongan usaha bersama jutaan pekerja industri, kata pegawai itu. – Bernama

    Kakitangan menyusun bungkusan di pusat logistik cawangan Daoxian, China Post, di Daerah Daoxian, Wilayah Hunan, tengah China pada 11 November 2024. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda