BEIJING, 8 JUN – Institut Xinhua, sebuah badan pemikir yang bernaung di bawah Agensi Berita Xinhua hari ini telah mengeluarkan satu laporan yang menegaskan komitmen China untuk membina Laut China Selatan sebagai laut keamanan, persahabatan dan kerjasama.
Laporan bertajuk Menjadikan Laut China Selatan Sebagai Laut Keamanan, Persahabatan dan Kerjasama: Tindakan China dan diterbitkan dalam bahasa Cina serta Inggeris, menyatakan China sentiasa menjadi penyokong, penggerak dan pelindung yang teguh terhadap keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, lapor Xinhua.
Menurut laporan itu, China berpegang kepada pandangan yang keamanan dan kestabilan perairan itu yang bergantung kepada usaha bersama antara China dan negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Melalui peningkatan kepercayaan dan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi serta budaya, perkongsian itu mewujudkan manfaat bersama yang berkekalan. Justeru, China muncul sebagai kuasa yang boleh dipercayai dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, sambil memajukan kerjasama serta pembangunan di kawasan itu.
Laporan menyatakan China sentiasa berpegang kepada prinsip membangunkan Laut China Selatan sebagai laut yang mencerminkan keamanan, persahabatan dan kerjasama, berdasarkan rundingan setara, pengurusan bersama berasaskan undang-undang, kerjasama saling menguntungkan, serta peranan yang membina.
Laporan itu turut menggesa China dan negara anggota ASEAN agar memastikan penyelesaian isu Laut China Selatan kekal berada dalam tangan mereka sendiri, berpegang pada prinsip yang betul dan hala tuju yang jelas, serta terus menjunjung konsep komuniti maritim berkongsi masa depan. – Bernama
