China komited menentang perang nuklear

BEIJING, 4 JAN – China sentiasa menggalakkan konsep “tiada pihak yang akan menang dalam perang nuklear”, ujar Timbalan Menteri Luarnya, Ma Zhaoxu, kelmarin.

Pengumuman itu dibuat susulan kenyataan bersama yang dikeluarkan China, Rusia, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis pada hari sama berhubung pencegahan perang nuklear dan perlumbaan penghasilan senjata.

Memetik kenyataan bersama tersebut, China berpendirian untuk sentiasa menentang perang nuklear selain konsisten mempromosi objektif yang terkandung di dalam pengumuman tersebut termasuk tidak menyasarkan satu sama lain mahupun negara ketiga dengan menggunakan senjata itu.

Buat julung kalinya, pemimpin lima negara itu mengeluarkan kenyataan bersama, sekali gus menzahirkan aspirasi politik secara muafakat bagi mengelakkan perang nuklear, memelihara kestabilan strategik global dan mengurangkan risiko pertembungan kuasa nuklear.

“Kelima-lima negara sebagai negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab mengelakkan perang nuklear dan memelihara keamanan dunia,” kata Ma lagi.

Tegasnya, China sentiasa berpegang kepada strategi nuklear yang defensif dan mengamalkan dasar “tidak menggunakan senjata nuklear terlebih dahulu”, mengurangkan kekuatan nuklear ke tahap paling rendah demi keperluan pertahanan negara. – Bernama