BEIJING, 18 FEB – Usaha harus diperkasakan untuk mempromosikan pembangunan sektor swasta yang sihat dan berkualiti, kata Presiden China Xi Jinping ketika berucap pada simposium mengenai perusahaan swasta yang diadakan di Beijing, kelmarin.
Beliau berkata sektor swasta mempunyai prospek cerah dan potensi besar dalam perjalanan baharu pada era baharu.
Menurut Xi, syarikat swasta dan usahawan dikehendaki memberikan sumbangan lebih besar kepada pembangunan pemodenan China.
Beliau menegaskan bahawa prinsip dan dasar kerajaan yang menyokong pembangunan sektor swasta tidak akan berubah dan akan dilaksanakan secara teguh.
Dalam simposium kali ini, enam wakil pemimpin perusahaan swasta telah berucap memberikan cadangan mengenai pembangunan ekonomi swasta.
Enam wakil itu ialah Ren Zhengfei dari Huawei; Wang Chuanfu dari BYD; Liu Yonghao dari New Hope; Yu Renrong dari Will Semiconductor; Wang Xingxing dari Unitree Robotics dan Lei Jun dari Xiaomi.
Setelah mendengar ucapan wakil-wakil berkenaan, Presiden Xi menyatakan bahawa ekonomi swasta telah mencapai skala yang amat besar, selain memainkan peranan yang amat signifikan di negara ini.
Beliau berkata sistem sosialis bercirikan China mempunyai kelebihan yang ketara dalam pelbagai aspek dan sistem ekonomi pasaran sosialis serta sistem undang-undang sosialis bercirikan China terus diperkukuh dan dioptimumkan. Ini akan menyediakan jaminan kukuh untuk pembangunan ekonomi swasta.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/AP25048532262702.jpg)