China komited sertai kerjasama vaksin global

BEIJING, 6 OGOS – Presiden Xi Jinping sekali lagi mengulangi bahawa China sentiasa berpegang teguh dengan konsep komuniti berkongsi kesihatan, membekalkan vaksin kepada negara luar khususnya negara membangun, di samping mempergiat kerjasama penghasilan vaksin.

Dalam ucapannya pada persidangan pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin COVID-19 kelmarin, Xi berkata China juga akan sedaya upaya membantu perjuangan negara membangun melawan wabak. Pada masa sama, Xi turut menyuarakan harapan agar persidangan kali ini dapat mencapai perkembangan baharu termasuk memastikan agihan vaksin secara adil dan menambah tenaga penggerak baharu kepada kerjasama dan perpaduan negara membangun. Menteri Luar China, Wang Yi ketika mempengerusikan persidangan secara maya itu berkata dunia kini masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19.

“Masyarakat antarabangsa harus meningkatkan perpaduan memenangi perjuangan melawan wabak ini,” katanya.

Beliau turut mengemukakan empat cadangan antaranya mengutamakan nyawa dan mempopularkan vaksin ke seluruh dunia, mempertahankan keadilan moral, dan meningkatkan bantuan kepada negara membangun. Selain itu, Wang menegaskan agar prinsip multilateralisme dijadikan pegangan, kerjasama antarabangsa diperkasa, serta mempergiat usaha pencegahan wabak. – Bernama