SEOUL, 30 MAC – China, Korea Selatan dan Jepun hari ini bersetuju untuk memperkukuhkan perdagangan bebas, berikutan langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif baharu ke atas pelbagai barangan import.
Perjanjian itu dimeterai dalam mesyuarat peringkat tinggi antara pegawai perdagangan dari ketiga-tiga negara, yang merupakan pertemuan pertama dalam tempoh lima tahun. Mesyuarat itu berlangsung beberapa hari sebelum tarif baharu AS mula dikenakan, melibatkan sektor utama seperti kereta, trak dan alat ganti kenderaan.
Korea Selatan dan Jepun terkenal sebagai pengeksport utama kenderaan, manakala China turut terkesan dengan dasar tarif AS.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Industri Korea Selatan Ahn Duk-geun, Menteri Perdagangan Jepun Yoji Muto dan Wang Wentao dari China.
Ketiga-tiga negara menyeru supaya rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas trilateral dipercepatkan, selain komited untuk mewujudkan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang stabil, menurut kenyataan bersama.
Menteri Korea Selatan, Ahn Duk-geun, menegaskan bahawa ketiga-tiga negara perlu bertindak bersama-sama dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Sementara itu, pegawai perdagangan Jepun, Yasuji Komiyama, berkata bahawa ketidaktentuan global semakin meningkat, manakala pegawai China, Wang Liping, menegaskan bahawa “unilateralisme dan proteksionisme semakin merebak”, menjadikan tanggungjawab ketiga-tiga negara untuk mempertahankan sistem perdagangan multilateral lebih penting.
Ketiga-tiga negara ini mewakili 20 peratus populasi dunia, menyumbang 24 peratus daripada ekonomi global dan 19 peratus daripada perdagangan barangan dunia, menurut Wang.
Sementara itu, Trump bertegas bahawa tarif baharu ini akan berkuat kuasa mulai 2 April, sebagai usaha untuk membetulkan amalan perdagangan yang disifatkannya tidak adil. Namun, beliau turut menyatakan bahawa akan ada “kelonggaran” dalam pelaksanaannya, yang sedikit sebanyak meredakan kebimbangan pasaran pada penghujung minggu lalu. – AFP
