Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, Korea Utara adakan rundingan rasmi

    SEOUL, 12 APRIL – Seorang pegawai kanan China tiba di Korea Utara dan mengadakan perbincangan tentang bagaimana untuk meningkatkan kerjasama mereka, lapor media negara Korea Utara hari ini, dalam pertemuan peringkat tertinggi kedua negara itu dalam kira-kira lima tahun.

    Zhao Leji, yang merupakan pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan China dan dianggap sebagai pegawai No 3 dalam Parti Komunis yang memerintah, tiba di Korea Utara kelmarin. Kerajaan China sebelum ini berkata beliau akan tinggal di Korea Utara sehingga Sabtu.

    Zhao bertemu rakan sejawatannya dari Korea Utara, Choe Ryong Hae lewat kelmarin dan membincangkan cara mempromosikan pertukaran dan kerjasama dalam semua bidang seperti politik, ekonomi dan budaya, lapor agensi Berita Pusat Korea Utara.

    Kedua-duanya juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang tidak dinyatakan yang menjadi kebimbangan bersama, kata KCNA.

    Zhao adalah salah seorang daripada tujuh ahli Jawatankuasa Tetap Politburo, badan kepimpinan tertinggi Parti Komunis yang dipimpin oleh pemimpin China, Xi Jinping. Lawatan Zhao ke Korea Utara menandakan pertukaran dua hala pertama yang melibatkan ahli Jawatankuasa Tetap Politbiro China sejak wabak koronavirus bermula. Pada 2019, kedua-dua negara mengadakan dua mesyuarat kemuncak antara Xi dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

    Pemerhati mengatakan bahawa Korea Utara dan China dijangka mengadakan beberapa pertukaran tahun ini untuk menandakan tahun ke-75 sejak mereka menjalinkan hubungan diplomatik.

    Korea Utara telah berusaha untuk meningkatkan kerjasamanya dengan China dan Rusia dalam menghadapi kebuntuan dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan berhubung program nuklear Korea Utara yang sedang berkembang. – AP

    Choe Ryong Hae mengiringi Zhao Leji selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang di Pyongyang, Korea Utara pada 11 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda