BEIJING, 27 SEPT – China hari ini mengurangkan jumlah rizab yang mesti disimpan oleh bank, dengan menyuntik kecairan bernilai AS$142.6 bilion ke dalam pasaran kewangan ketika para pemimpin memulakan salah satu usaha terbesar mereka dalam beberapa tahun untuk memulakan pertumbuhan.
Langkah oleh Bank Rakyat China itu dibuat sehari selepas Presiden Xi Jinping dan pegawai atasan lain mengakui terdapat masalah baharu dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu dan menggariskan rancangan untuk memulihkannya.
Beijing minggu ini telah melancarkan beberapa langkah untuk meningkatkan ekonomi, yang disasarkan untuk berkembang lima peratus tahun ini – objektif yang dikatakan penganalisis optimistik memandangkan banyak halangan yang dihadapinya.
Bank itu turut mengurangkan kadar repo bagi pinjaman jangka pendek di mana faedah yang dibayar oleh bank pusat untuk pinjaman daripada pemberi pinjaman komersial daripada 1.7 peratus kepada 1.5 peratus.
Pertumbuhan ekonomi di China sedang dibelenggu oleh krisis hutang yang berpanjangan dalam sektor hartanah, penggunaan domestik yang lembap dan kadar pengangguran belia yang tinggi.
Parti pemerintah Komunis semalam mengadakan mesyuarat badan tertingginya, Politburo, untuk menganalisis dan mengkaji keadaan ekonomi semasa.
“Beberapa situasi dan masalah baharu telah muncul dalam perkembangan ekonomi semasa,” lapor agensi berita Xinhua selepas mesyuarat itu.
“Kita mesti melihat keadaan ekonomi semasa secara komprehensif, objektif dan tenang, menghadapi kesukaran dengan positif, serta mengukuhkan keyakinan,” tambahnya. – AFP