BEIJING, 28 APRIL – China hari ini mempertahankan dirinya daripada kritikan antarabangsa ke atas pengendalian pandemik koronavirus di negara itu, menuduh ahli politik AS sebagai ‘pembohong yang tak tahu malu.’
Virus baharu itu muncul di bandar Wuhan lewat tahun lalu sebelum merebak ke seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan Australia, yang menuntut siasatan bagaimana penyakit itu berubah menjadi satu pandemik global.
Namun Beijing menempelak kritikan asing hari ini, mengatakan AS menyerang China untuk mengalih perhatian daripada caranya sendiri mengendalikan wabak itu.
China juga mempertahankan dutanya ke Australia, memberi amaran bahawa rakyat China boleh memboikot barangan import negara itu dalam respons terhadap tuntutannya bagi siasatan koronavirus.
“Ahli politik Amerika berulang kali tidak mengendahkan kebenaran dan melakukan satu pembohongan terang-terangan,” kata jurucakap kementerian luar, Geng Shuang memberitahu wartawan pada sidang media ringkas.
“Mereka hanya ada satu objektif: mengelak tanggungjawab mereka terhadap pencegahan dan langkah-langkah kawalan lemah epidemik dan mengalih perhatian awam,” tambahnya. Geng mengatakan ahli politik AS seharusnya ‘merenung masalah mereka sendiri dan mencari jalan mengekang wabak secepat mungkin.’
Presiden AS Donald Trump mencadangkan hari ini bahawa beliau mungkin menuntut ganti rugi kerosakan dari China kerana wabak itu, mengatakan terdapat banyak pilihan untuk ‘mempertanggungjawabkan mereka.’
“Kami tidak gembira dengan China,” kata Trump pada satu taklimat ringkas di Rumah Putih.
“Kami tidak gembira dengan seluruh keadaan ini kerana kami percaya ia boleh dihentikan pada puncanya.” – AFP