BEIJING, 16 MEI – China memutuskan untuk melaksanakan dasar pengecualian visa kepada pengembara dari lima negara Latin Amerika dan Caribbean (LAC).
Berita itu diumumkan sempena Mesyuarat Peringkat Menteri Forum China-Komuniti Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) keempat yang diadakan di Beijing, baru-baru ini.
Menurut keputusan itu, pemegang pasport biasa dari Brazil, Argentina, Chili, Peru dan Uruguay, yang datang ke China untuk tujuan berniaga, melancong, mengunjungi famili atau sahabat, pertukaran dan transit selama tidak lebih daripada 30 hari, akan dikecualikan visa.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, dalam satu taklimat kelmarin menjelaskan bahawa untuk memudahkan pertukaran lawatan sesama rakyat, kerajaan China memutuskan untuk mengecualikan visa bagi pengembara dari lima negara berkenaan, berkuat kuasa bermula 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026. – Bernama
