JINAN, 17 JULAI – Bagi memastikan pencemaran habuk dan bunyi dikekalkan pada tahap minimum, pihak berkuasa China di bandar Jinan telah memasang kubah kembung terbesar di dunia di atas kawasan seluas 20,000 meter persegi.
Menurut laporan Oddity Central, pembinaan bandar adalah perniagaan kotor yang menjejaskan kawasan besar di sekitar tapak pembinaan, tetapi projek unik di Jinan, China, merupakan bukti bahawa projek pembinaan besar boleh diasingkan untuk mengurangkan bunyi dan pencemaran, sekali gus membantu melindungi komuniti berhampiran serta alam sekitar.
Apa yang awda perlukan ialah belon kembung gergasi! Yang pertama seumpamanya di China dan dilaporkan terbesar di dunia, kubah kembung di Jinan itu mempunyai ketinggian 50 meter dan meliputi kawasan seluas 20,000 meter persegi.
Ia menggunakan tekanan negatif dan sistem penapisan udara termaju untuk menghalang habuk daripada terlepas ke kawasan berhampiran, tetapi juga memastikan pekerja masih boleh bernafas dengan udara di dalamnya.
Menggunakan bahan lut sinar untuk belon pembinaan gergasi memastikan cahaya matahari yang cukup menembusinya, sekali gus meminimumkan keperluan cahaya buatan pada siang hari.
Menggunakan tekanan udara yang berterusan untuk memastikan kubah mengembang bermakna tiada keperluan untuk membina rasuk atau tiang sokongan, dan reka bentuk belon membolehkan pemasangan dan perobohan segera, jadi ia boleh digunakan dengan cepat di tapak lain apabila pembinaan selesai.
Pegawai tempatan berkata projek itu adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk melaksanakan amalan pembinaan yang lebih hijau dan mampan di kawasan bandar.
Walaupun ia mengawal penyebaran habuk di kawasan sekitar, ia juga bertindak sebagai penghalang bunyi terhadap bunyi yang dihasilkan oleh jentera pembinaan berat.
Sekiranya ia terbukti satu kejayaan di Jinan, China merancang untuk menggunakan lebih banyak kubah kembung sedemikian di seluruh negara. – Agensi


